Monday, September 6, 2010

IHYA’ RAMADHAN 1431H

IHYA’ RAMADHAN 1431H (4)

Kewajiban-kewajiban Akibat Berbuka Puasa


Pertama: Mengqada’ puasanya pada hari lain, baik berbuka dengan keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran, seperti perempuan yang datang haid atau nifas, begitu juga orang yang murtad. Kecuali orang kafir yang masuk Islam, orang yang baru baligh dan orang gila yang baru sembuh, maka tidak diwajibkan mengqada’ puasa yang ditinggalkan sebelumnya dan dalam mengqada’ puasa tidak disyaratkan berturut-turut.

Kedua: Membayar kaffarah dengan memerdekakan hamba sahaya; jika tidak mampu dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak mampu dengan memberi makan enam puluh orang miskin, tiap orang satu mud (¾ liter) iaitu bagi orang lelaki (suami) yang membatalkan puasanya dengan menjimak isterinya.

Ketiga Bagi yang berbuka puasa tanpa keuzuran, diwajibkan menahan diri dari makan, minum dan lain-lain pada sisa siang Ramadhan. Adapun bagi orang yang berbuka kerana keuzuran, seperti karena haid, nifas atau safar, maka tidak wajib yang demikian.

Keempat: disamping mengqada’ puasa, juga wajib membayar fidyah ke atas orang yang hamil atau menyusukan anak, jika berbuka dengan sebab kebimbangan terhadap kesihatan anak yang dikandung atau disusuinya. Jika berbuka disebabkan kebimbangan terhadap kesihatan dirinya sendiri, maka tidak diwajibkan membayar fidyah. Kadar fidyahnya ialah satu mud gandum atau beras.

Bagi orang tua yang sudah tidak mampu, atau terlalu lemah untuk berpuasa, jika tidak berpuasa diwajibkan bersedekah setiap hari satu mud[1].


Sunnat-sunnat Puasa

Bagi orang yang berpuasa ada beberapa perkara yang disunnatkan, di antaranya:

1. Menyegerakan berbuka puasa bila telah yakin bahawa matahari telah terbenam, berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad dan Tirmizi dari Sahl Bin Sa’d r.a. bahwa Rasulullah SAW bersabda:
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر.
“Senantiasa manusia itu dalam keadaan baik ( dalam kebaikan ) selama mereka menyegerakan berbuka puasa”.
2. Berbuka dengan kurma atau makanan yang manis atau dengan air, berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Tirmizi dari Anas r.a. bahawa beliau berkata:
كان النبى صلى اله عليه وسلم يفطر قبل ان يصلى على رطبات، فإن لم تكن فعلى تمرات، فإن لم تكن حسا حسوات من ماء.
Maksudnya:“Nabi SAW berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan beberapa biji rutab (kurma matang sebelum jadi tamar), jika tidak ada dengan beberapa tamar, dan jika tidak ada dengan meneguk beberapa teguk air”

3. Mentakhirkan sahur, berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bahwa Rasulullah SAW bersabda:
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر وَأَخَّرُوا السَّحُورَ
“Sentiasa manusia itu dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan melambatkan sahur”.

4. Membanyakkan bersedekah, lebih dari bulan-bulan lain, terutama menjamu orang-orang yang berpuasa berbuka puasa bersamanya.

5. Membanyakkan membaca Al-Quran dan bertadarus dengan membaca bersama-sama dengan orang lain.

6. Beriktikaf di masjid, terutama pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan, dengan harapan memperoleh malam Lailat al-Qadar, yang disifati sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan.

7. Pada waktu berbuka membaca doa berikut:
اللهُمَّ لَكَ صُمْتُ ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
“Ya Allah, keranaMu aku berpuasa, dan dengan rezeki dariMu aku berbuka”

Imam Ghazali berkata: Puasa yang sempurna, bukan hanya sekadar menahan diri dari makan, minum atau lain-lainnya yang disebut sebagai perkara-perkara yang membatalkannya, tetapi juga menahan diri atau anggota badan dan fikiran daripada melakukan atau memikirkan perkara-perkara yang tidak diredai Allah SWT.
Secara terperincinya, menurut beliau, puasa ini mempunyai tiga tingkatan:

Pertama: Puasa umum (Sowmul Umum): iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkannya.

Kedua: Puasa Khusus (Sowmul Khusus): iaitu selain menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan di atas, juga menahan anggota dan pancainderanya dari melakukan perbuatan-perbuatan jahat atau keji yang dilarang oleh Allah SWT seperti berikut:

1. Menahan mata dari melihat segala sesuatu yang tercela dan dibenci, yang boleh melalaikan hati dan menyibukkan fikiran dari mengingati Allah SWT. Hakim telah meriwayatkan dari Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

النَّظْرَةُ سَهْمٌ مَسْمُومٌ مِنْ يِهَامِ إِيْلِيسَ لَعَنَهُ اللهُ، فَمَنْ تَرَكَهَا خَوْفًا مِنَ اللهِ، آتَاهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِيمَنًا يَجِدُ حَلاوَتَهُ فِى قَلْبِهِ.
“Penglihatan itu (perkara yang diharamkan) merupakan salah satu anak panah Iblis yang dilaknat oleh Allah yang beracun. Barangsiapa yang menghindarkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya keimanan yang ia akan merasakan kelazatannya di dalam hatinya”.

2. Menahan lidah dari mengatakan perkataan-perkataan yang keji, cabul, memaki, mengumpat, melagakan orang, dan lain-lain perkataan yang menyakiti dan boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama manusia.

3. Menjaga telinga dari mendengar segala yang dilarang oleh Allah atau dibenci mendengarnya, seperti mendengar orang mengumpat, cerita-cerita yang boleh membangkitkan syahwat atau keinginan yang buruk dan seumpanya.

4. Menahan tangan, kaki dan lain-lain anggota dari melakukan perbuatan dosa, menahan perut dari makan yang syubhat waktu berbuka puasa, dan lain-lain.

5. Jangan terlalu memperbanyak makanan pada waktu berbuka, meskipun daripada yang halal, kerana yang demikian mengurangi atau menghilangkan kesan yang ingin dicapai dari kewajiban puasa, iaitu mengawal atau mengendalikan syahwat, termasuk syahwat perut atau syahwat makan dan minum.

6. Setelah berbuka puasa hendaklah ia merenung, memikirkan apakah puasanya diterima oleh Allah atau tidak, sehingga timbul dalam hatinya perasaan takut dan harap. Dan inilah yang semestinya dilakukan setelah selesai melakukan setiap ibadat.
Puasa khusus ini ialah puasanya orang-orang yang saleh.

Ketiga: Puasa Khusus dari yang Khusus (Showm Khususil Khusus), yang merupakan puasanya para nabi, para siddiqiin dan muqarrabiin, iaitu selain menahan diri dari perkara-perkara yang disebut dalam puasa umum dan puasa khusus, juga memelihara hati dan fikiran dari segala keinginan dan pemikiran duniawi yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah SWT dan mengingati akhirat.[2].


Disediakan oleh ibnusabil@intanbk.intan.my

[1] Ihyaa ‘Ulum al-Din 3/36-37.
[2] Rawdhat al-Taalibiin 2/368-369, Al-Dirasaat al-Fiqhiyah ‘Ala Mazdhab al-Imam al-Syafi’I 461-463, Fath al-Mu’iin 2/245-258, Al-Haawi al-Kabiir 3/330-333, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazdzdab 6/359-378, Ihyaa Ulmu al-Din 3/37-42.-

8 comments:

LYaFRINA said...

ilmu y sgt2 bguna...

sha, thn ni raya trg k pahang??? bila balik kampung?? drive kete slow2 yer...
kdai sha tu..kalo lalu2 blh la lya jeling2..pndang2.. heheheheh

slamat hari raya aidilfitri dr lya n family.
MAAF ZAHIR N BATIN.

..nOj.. said...

dah 2 ari aku tak terjaga sahur ni. huwaaaaaaaaaaaaa marah betul pd diri sendiri

mamaarifakeemaisy said...

perkongsian ilmu yg sgt bgs! tQ!

*psst n3 kemalangn kt bwh tu, sgt ngeri...hope perjlnan kita semua nnti, selamat hendaknya!

*selamat menyambut hari raya. maaf zahir & batin!

mamaarifakeemaisy said...

perkongsian ilmu yg sgt bgs! tQ!

*psst n3 kemalangn kt bwh tu, sgt ngeri...hope perjlnan kita semua nnti, selamat hendaknya!

*selamat menyambut hari raya. maaf zahir & batin!

::Kak Sambal:: said...

tq for the info..

r|nA @ ja|j|na said...

thank di atas kesudian berkongsi sedikit ilmu..ni boleh dijadkan panduan untuk kita sampai bile²..

.:fyzz:. said...

makasih wey..at least dpt remind kita..sharing is caring...

Nurzairul Isma said...

tima kasey.... perkongsian ilmu...slmt hari raya...