Thursday, July 6, 2017

APA ITU HIBAH?


.
Dari segi bahasanya, hibah bermaksud hadiah. Selagi anda masih hidup dan bernafas, anda bebas untuk memberikan hibah kepada sesiapa pun mengikut formula yang anda kehendaki. Sekiranya anda berhasrat untuk membahagikan harta, anda patut mempertimbangkan untuk menyediakan hibah kerana ia mempunyai beberapa kelebihan seperti:
.
1. Formula pembahagian yang berkuatkuasa.
Berbeza dengan wasiat yang formula pembahagiannya mesti dipersetujui oleh waris sebelum boleh dilaksanakan, formula pembahagian hibah berkuatkuasa sepenuhnya mengikut hasrat pemberi hibah di dalam dokumen hibah tersebut. Sebaik sahaja Mahkamah Syariah memutuskan bahawa hibah itu sah mengikut hukum syarak, ia tidak boleh dituntut oleh waris yang lain. Jadi kalau anda serius untuk memastikan hasrat ini tercapai, buatlah dokumen hibah dan bukannya wasiat.
.
2. Hibah kepada anak dan cucu boleh ditarik balik.
Ada juga orang yang bercakap dengan saya, tak payah bersusah-payah untuk buat hibah. Pindah milik sahaja hartanah yang dikehendaki kepada anak-anak yang mereka ingini. Jawapan saya, “Tentu sahaja boleh pindah milik tetapi jangan menyesal kalau anak-anak kita jual hartanah ini dalam keadaan kita masih bernyawa kerana ia telah pun menjadi milik sah mereka.”
Bukan sedikit kes yang saya temui di mana ibu bapa yang telah memindahmilik rumah mereka kepada anak-anak, dihalau dari rumah selepas itu. Sadis bukan? Tapi itulah hakikat kehidupan.
.
Di sinilah hibah mempunyai keistimewaan ketara. Dengan menyediakan hibah, kita telah menetapkan siapakah yang akan menerima harta ini mengikut formula yang kita mahu tetapi sekiranya pemberian ini dibuat kepada anak dan cucu, kita boleh menarik balik atau mengubah formula pemberian ini pada bila-bila masa yang kita kehendaki.
.
3. Perlaksanaan selepas kematian pemberi hibah.
Walaupun dokumen hibah disediakan hari ini, namun pindah milik di dalam geran hanya akan dibuat selepas kematian pemberi hibah. Perlaksanaan menggunakan modul seperti ini menjamin bahawa pemberi hibah masih mempunyai kuasa ke atas hartanah yang dihibah selagi dia masih hidup. Wasiyyah Shoppe telah melaksanakan modul perkhidmatan ini dengan jayanya dan sehingga 31 Disember 2007, telah berjaya mendapatkan lebih daripada 27 perintah penghakiman daripada Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia.
.
4. Kos penyediaan hibah yang lebih murah daripada pindah milik.
Sekiranya pindah milik dibuat daripada nama pemberi hibah kepada penerima hibah, duti setem perlu dibayar. Secara umumnya, duti setem ini ialah 1.0 peratus untuk nilai hartanah RM100,000 yang pertama, 2.0 peratus untuk nilai hartanah RM400,000 yang kedua dan 3.0 peratus untuk nilai hartanah yang seterusnya.
.
Seorang ayah atau ibu boleh memilih untuk memindah milik hartanah mereka kepada anak-anak hari ini tetapi mereka perlulah membayar kos ini. Oleh kerana hibah tidak memerlukan pindah milik berlaku, duti setem tidak perlu dibayar dan ini menyebabkan prosedur menyediakan hibah jauh lebih efektif dari segi kos.
.
Dengan penerangan ringkas ini, saya harap umat Islam di Malaysia akan memahami dengan jelas fungsi dan keberkesanan hibah. Kalau anda berhasrat agar harta pusaka anda dibahagikan mengikut formula yang anda kehendaki, buatlah hibah dan bukannya wasiat. Jadi sudahkah anda menyediakan dokumen hibah anda hari ini?
 .
Artikel ini disiarkan pada :

MyMetro, Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:42 AM

No comments: